6 Kolam Pancing Ini Adalah ‘Port’ Terbaik Buat Kaki Pancing Lepaskan Gian

Kolam Pancing Ruskijang Park, Ulu Klang

Ruskijang Fishing Park merupakan sebuah kolam memancing ikan air tawar dalam hutan yang amat popular di ibu kota Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang.

Kolam yang dibina pada tahun 1998 ini pada awalnya diusahakan untuk menternak ikan jelawat tetapi ditukar menjadi kolam memancing berikutan potensi dan hasrat ramai kaki pancing yang pernah datang memancing sejak beberapa tahun lalu.

Lokasi: Kampung Kemensah, 68000 Ampang, Kuala Lumpur.

Waktu Operasi: 24 jam

Bayaran masuk: 1 jam – RM20.00 / 3 jam – RM23.00 / 5 jam – RM25.00

Jenis ikan: Rohu, tongsan, lekoh, lampam, talapia, pacu, baung, haruan dan keli.

 

 

Kolam Pancing Joran Terjun, Kemensah

Kolam Pancing Joran Terjun merupakan kolam pancing ikan air tawar milik usahawan bumiputra. Kolam pancing ini sudah beroperasi sejak 2004 dan masih lagi beroperasi hingga kini. Boleh dikatakan setiap hari, kolam pancing ini dipenuhi ramai. Terdapat dua buah kolam yang disediakan di sini. Namun terdapat syarat yang perlu dipatuhi iaitu penggunaan usus dan hati ayam tidak dibenarkan.

Lokasi: Berdekatan Hutan Simpan Hulu Langat 68000, Selangor, Malaysia.

Waktu operasi: 24 jam

Bayaran masuk: 3 jam – RM22 / 5 jam – RM27 / 6 jam – RM22 (selepas jam 11 malam)

Jenis ikan: Pacu besar, patin, baung dan keli.

 

 

Kolam Pancing Wu Ping, Cheras

Tidak jauh dari pusat bandar, Kolam Pancing Wu Ping menjanjikan kepuasan kepada kaki pancing kerana saiz kolamnya yang agak besar. Setiap hari kolam ini menerima begitu ramai pengunjung tidak kira siang mahupun malam.

Lokasi: Jln Kuari, Kampung Cheras Baru, Wilayah Persekutuan, 56100 Kuala Lumpur, Malaysia.

Waktu operasi: 8am – 12am

Bayaran masuk: 6 jam – RM32

Jenis ikan: Patin, rohu, talapia merah, baung dan keli.

 

Natural Exotic Fish Fishing Pond, Rawang

Selain menjanjikan pengalaman memancing yang menyeronokkan, kolam pancing ini juga amat terkenal dengan layanan pekerja-pekerjanya yang friendly. Kawasannya yang luas dan bersih juga menjadi antara faktor penarik kaki pancing untuk memancing di sini.

Lokasi: Lot 13, Batu 23, Jalan Batu Arang Kampong Sungai Bakau, 48000 Rawang, Selangor.

Waktu operasi: 24 jam

Bayaran masuk: 4 jam – RM100

Jenis ikan: Keli, toman dan haruan.

 

Kolam Pancing Seri Bayu Tekala, Semenyih

 

Sri Bayu Tekala adalah kawasan berkelah di mana pengunjung boleh mandi dan berenang bersama keluarga atau rakan-rakan. Kawasan ini biasanya penuh pada hujung minggu dan cuti umum. Pengunjung juga boleh membuat BBQ tepi sungai ketika berehat di khemah untuk menikmati angin lembut.

Inilah bezanya kolam pancing ini kerana ia terletak di kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan orang ramai. Terdapat 14 kolam di sini, tetapi tidak semua kolam dibenarkan untuk memancing.

Lokasi: Batu 30 jalan sungai lalang, sungai tekala, 43500 Semenyih, Selangor.

Waktu operasi: 24 jam

Bayaran masuk: 4 jam – RM22

Jenis ikan: Talapia, Rohu, Tongsan, Lampam dan Baung.

 

 

 

Kolam Pancing Jugra, Banting

Sedikit berbeza dengan kolam lain, kolam ini adalah salah satu kolam pancing yang paling popular kerana bayarannya yang sangat murah. Tetapi dengan syarat, sekiranya anda dapat menangkap ikan tersebut, anda perlulah membayar mengikut kilogram dan membawanya pulang.

Terdapat 3 pakej yang disediakan:

Pakej pertama RM3.00

Bayar RM3.00 boleh mancing sampai lebam

Boleh mancing mana-mana kolam. ( Kolam Siakap, Kolam Jenahak dan Kolam Kerapu)

Dapat ikan kena timbang dan kena bawa pulang.

Siakap/ Jenahak RM 17.00/kg

Kerapu RM 35.00/kg

Pakej kedua RM30.00/ 2 jam(CNR)

Package ni hanya untuk kolam siakap sahaja.

Pakej ketiga RM50.00/ 2 jam(CNR)

Package ni boleh memancing dekat mana-mana kolam pun.

Lokasi: Kampung Ayer Tawar, 42700 Banting, Selangor, Malaysia.

Waktu operasi: 24 jam

Bayaran masuk: RM3 – sehari

Jenis ikan: Siakap, jenahak dan kerapu

 

 

sumber : says.com

_____________________________

 

Panduan, Tip & Taktikal Pancingan Pantai (Surfcasting)

Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak dikelilingi dengan kawasan pesisir pantai yang panjang dan luas. Faktor inilah sedikit sebanyak menjadi penyumbang kepada perkembangan komuniti surfcaster atau bahasa mudahnya pemancing pantai.

Bila kita lihat sahaja kaki pancing ‘bersiar-siar’ dengan joran panjangnya, pasti ramai yang akan melabel mereka sebagai pemancing pantai.

“Persoalannya, mengapa pancingan pantai memerlukan seseorang pemancing itu menggunakan joran panjang? Adakah joran pendek tidak sesuai untuk memancing di pantai?”
Persoalan ini akan kita rungkai di penghujung artikel ini. Terlebih dahulu, Profishganda ingin berkongsi panduan asas dan teknik untuk pancingan di pantai.
(DISCLAIMER: Penulisan ini agak panjang kerana penuh dengan ilmu dan informasi berguna. Jadilah komuniti pemancing yang gemar membaca untuk menambah ilmu pengetahuan)
PANDUAN ASAS MEMANCING PANTAi
 1 ) JORAN

Joran merupakan alat yang menjadi penghubung di antara pemancing dengan ikan. Pemilihan joran adalah antara perkara yang perlu dititikberatkan untuk semua lapangan pancing.Untuk kategori pancingan pantai. Harus diakui joran dengan kepanjangan 12 kaki ke atas adalah yang terbaik digunakan.Tetapi jika ditanya kebanyakan komuniti pemancing pantai, saiz panjang yang paling ideal ialah 15 kaki.Kriteria untuk joran pancingan pantai ialah joran itu haruslah tidak terlalu berat, ada lenturan yang baik, tidak terlalu lembut atau keras dan ia juga haruslah tahan lasak kerana pancingan pantai memerlukan semua kriteria ini untuk membuat lontaran jauh.

 

Antara jenama joran yang paling biasa digunakan surfcaster ialah Shimano Aerocast, Shimano Ultegra, Shimano Beastmaster, Banax Scorpion, dan Banax Tornado. Harga untuk joran dari jenama ini ialah dalam lingkungan RM400-RM800

Shimano Aerocast

Bagi yang kurang berkemampuan, joran dari jenama Seahawk dan Awashima juga boleh menjadi pilihan. Walau bagaimanapun, biasalah, joran dari jenama ekonomi ini pasti ada kekurangannya yang tersendiri. Antaranya, ialah terlalu berat (menyukarkan lontaran) dan ada juga yang tidak tahan lasak (mudah patah).

 

Teknik melontar joran yang biasa dipraktikkan ialah dengan meletakkan perambut di atas pasir, menyondongkan hujung joran hingga menghampiri pasir dan membuat aksi seolah-olah ingin merejam. Boleh juga gunakan teknik pendulum, namun ia haruslah dipraktikkan di kawasan lapang yang jauh dari orang ramai.

2)Kekili (reel)

Kekili untuk pancingan pantai haruslah dari jenis yang tahan lasak dan tahan air masin. Ini kerana, sesetengah kekili mudah rosak dan cepat karat apabila terkena air masin.

 

Saiz yang biasa digunakan ialah saiz 4000 – 10000. Namun, saiz paling ideal digunakan ialah 8000 untuk dipadankan dengan joran 15 kaki.

 

Jenama yang popular seperti Shimano (Stella, Power Aero, Twin Power), Ryobi (AP Power), dan Daiwa. Walau bagaimanapun bagi yang kurang berkemampuan, antara kekili cadangan ialah Shimano Activecast  yang berharga dalam lingkungan RM200-300 atau pun boleh juga gunakan kekili dari jenama Tica Dolphin atau Scepter yang harganya bawah RM200 (kalau tak salah).

Shimano Activecast

Setiap kali selesai memancing, anda wajib membasuh kekili anda dengan air bersih (air paip) untuk mengelakkan daripada bahagian luar dan dalamnya menjadi karat kerana air masin. Kekili juga haruslah diservis setiap tiga bulan sekali kerana kekili tanpa servis boleh menyebabkan ketahahanan kekili anda berkurangan dan ini boleh memberi masalah di kemudian hari.

3)Tali Utama (main line)

Tali utama atau ‘main line’ turut menjadi faktor penting pancingan di pantai. Tali utama yang paling sesuai digunakan ialah dari jenis tali benang atau ‘braided’ dengan kekuatan 20lb hingga 40lb. Paling terbaik digunakan ialah kekuatan 30lb dengan ketebalan diameter yang lebih halus.

 

Tali benang yang berdiameter halus adalah paling baik kerana ia mampu membuatkan anda mendapat jarak (distance) yang lebih jauh berbanding tali berdiameter tebal/kasar.

 

Panjang tali dalam gelendung kekili haruslah dalam lingkungan 400-450 meter (tali yang banyak beri sedikit keyakinan apabila bertarung dengan ikan bersaiz mega).

 

Walau bagaimanapun harus diingat, anda perlulah kerap memeriksa tali setiap kali membuat gulungan. Pastikan tali anda tidak berbulu atau bergerigi yang mana ia boleh menyebabkan anda berputih mata apabila bertarung dengan ikan. Jangan sayang untuk potong tali utama anda jika didapati sudah berbulu atau bergerigi.

4)Perambut

Perambut memainkan peranan penting untuk kejayaan mendaratkan ikan. Kekuatan perambut dianggap sebagai insurans kerana ia membantu untuk menyerap tekanan dan asakan daripada ikan apabila melarikan umpan.

Contoh perambut pantai.

Untuk pancingan pantai perambut dari jenis Fluorocarbon dengan kekuatan 40lb – 80lb adalah paling biasa digunakan. Panjang perambut utama ialah dalam lingkungan setengah depa hingga sedepa (ikut citarasa dan lokasi pancingan). Perambut yang biasa digunakan ialah perambut satu mata.

5) Mata kail

Untuk pancingan pantai juga, kekuatan mata kail harus diambil kira. Mata kail dari jenis keluli tahan karat (stainless steel) adalah yang terbaik digunakan.

 

Mata kail stainless steel diperlukan kerana ada sesetengah ikan di pantai mempunyai kekuatan luar biasa yang mampu mematahkan mata kail ketika aksi pertarungan.

 

Jenama mata kail yang sering menjadi pilihan kaki pancing pula ialah seperti Gamakatsu, Owner, Maruto dan Mustad.

 

Saiz yang ideal digunakan ialah 2/0 hingga 4/0 untuk memburu ikan bersaiz besar. Jika target anda ikan dalam lingkungan 1kg ke bawah, mata kail bersaiz 1/0 ke bawah adalah mencukupi. Mata kail berbentuk ‘J’ dan bulat (Octopus hook) merupakan jenis yang biasa digunakan.

 

Mata kail tersebut haruslah dipadankan dengan tali fluorocarbon dengan kekuatan 30lb – 50lb. Panjang perambut mata kail biasanya sepanjang setengah depa hingga satu depa. Ia bergantung kepada lokasi pancingan anda sama ada pantai yang landai, pantai berbatu atau pantai yang dalam.

6) Batu Ladung

Pemberat atau batu ladung membantu untuk anda membuat lontaran yang jauh selain ia juga berfungsi untuk mengekalkan kedudukan umpan anda walaupun berdepan arus yang kuat.

 

Batu dengan berat 150 gram ke atas adalah terbaik digunakan untuk dipadankan dengan joran panjang. Saiz batu ladung haruslah bergantung kepada keadaan arus. Jika arus kuat, gunakan ladung yang lebih berat.

 

Batu ladung dari jenis batu sauh (ada dawai di kelilingnya) sering menjadi pilihan kaki pancing pantai. Batu ini berpotensi untuk mengekalkan perambut anda walaupun berdepan dengan arus yang kuat.

Batu ladung yang biasa digunakan.

Selain itu, batu dari jenis ‘diamond’ juga sering menjadi pilihan kaki pancing pantai.

7)Umpan

Bercerita soal umpan, ia amatlah subjektif untuk apa jua lapangan memancing. Namun untuk pancingan pantai ada beberapa jenis umpan yang sering dijadikan pilihan utama.

Yang paling popular sudah tentulah UDANG HIDUP. Udang hidup merupakan umpan universal yang digemari pelbagai spesies ikan. Faktor matanya yang bercahaya di dalam air dan badannya yang berkilat menjadikan udang hidup sebagai umpan terbaik memancing di pantai.

Udang hidup

Umpan kedua menjadi pilihan kaki pancing pantai ialah ikan hidup atau segar. Ikan-ikan seperti bolos, gelama, belanak (bersaiz ibu jari), tamban, dan beliak mata menjadi antara pilihan utama .

Ikan bolos, umpan ‘killer’ untuk memburu pari.

Selain itu, udang mati yang segar, sotong segar, cumit, umpun-umpun, makhluk bercengkerang (kerang, umang-umang) dan hirisan ikan (seperti kembung, selar, selayang, anak ikan parang, gelama) juga boleh digunakan.

 
Spesies-spesies Ikan di Pantai

Ikan pari dianggap lesen besar bagi kaki pancing pantai.

Untuk spesies ikan di pantai, Profishganda ingin membahagikannya kepada dua (2) kategori iaitu Pantai Timur dan Pantai Barat.(** Untuk Sabah dan Sarawak, kami tiada pengalaman memancing pantai di sana. Insyaallah akan dikupas bila mendapat informasi secukupnya).

a) Pantai Timur

Untuk Pantai Timur, pantai-pantainya kebiasaan berbentuk landai yang mana ia bermaksud apabila air surut akan timbul beting pasir.

Antara ikan utama yang sering mendiami pantai di pantai Timur ialah seperti pari, ebek, gerong belang, aruan tasik, bawal pinang, todak, yu kemejan dan lain-lain lagi.

Pantai Timur mempunyai kawasan pantai yang lebih landai.

Antara lokasi pancingan pantai yang popular di Pantai Timur ialah Pantai Nenasi dan Tg Serandu (Pekan, Pahang), Pantai Sepat, Balok (Kuantan, Pahang), Pantai Chedoq dan Pantai Irama (Rompin, Pahang), Pantai Senok dan Pantai Cahaya Bulan (Kelantan), Pantai Batu Burok, Teluk Ketapang dan Benteng Primula(Kuala Terengganu).

b) Pantai Barat

Bagi Pantai Barat pula, struktur pantainya sedikit berbeza yang mana kebanyakan pantainya lebih menjunam (dalam) dan berlumpur.

Antara ikan yang biasa dipancing ialah pari, tuka, semilang, senangin, kurau, duri, belukang, malong, kerapu, tetanda, gerut, tebal pipi, gelama, daun baru, malong, bawal pinang dan lain-lain.

Pantai Teluk Pelanduk, Negeri Sembilan

Lokasi memancing pantai yang popular ialah seperti Pantai Puteri, Pengkalan Balak, Tg Bidara (Melaka), Pantai Cahaya, Teluk Pelanduk, Bagan Pinang (Negeri Sembilan), Pantai Sg. Lang, Pantai Remis, Tg Harapan (Selangor), Pantai Teluk Senangin, Segari, Ban Pecah Tg Piandang (Perak), Pantai Punggai, Pantai Semanyir, Sedili (Johor), Pantai Bersih (Pulau Pinang), Pantai Merdeka (Kedah).

9) Waktu Terbaik

Air terbaik untuk memancing di pantai ialah ketika tibanya penghujung air besar (bulan penuh) hingga air menyorong kecil dan juga sewaktu penghabisan air kecil hingga menyorong ke besar. Pada waktu ini, air masih berarus, namun ia tidak terlalu kuat atau perlahan.

 

Kemuncak air besar dan air mati kurang sesuai untuk memancing di pantai kerana ketika kemuncak air besar, arus terlalu kuat sehingga menyebabkan perambut anda boleh bergerak dari lokasi asal. Ketika kemuncak air mati pula, pantai akan menjadi lenang (tiada arus) dan air juga terlalu jernih hingga membuatkan ikan menjadi pasif  untuk keluar memburu.

 

Permulaan air pasang menjadi antara waktu terbaik memancing di pantai. Pada waktu ini, ikan akan mudik ketepi untuk mencari makanan. Jadi memancing pada waktu ini memberi anda lebih potensi untuk ‘strike’.  Selain itu, pergerakan air jalan surut juga menjadi waktu terbaik kerana ia juga menjadikan ikan aktif mencari makanan mengikut arus. Penting untuk membaca jadual air sebelum turun memancing.

Kurau yang dipancing ketika air jalan surut di waktu malam

Ada juga pemancing menjadikan waktu malam sebagai waktu terbaik turun memancing. Selain daripada mengelakkan daripada rentung dibakar bahang matahari di waktu siang, waktu ini juga menjadi waktu terbaik untuk memburu beberapa spesies tertentu (contonya mayong, jahan, tebal pipi) yang gemar berkeliaran di waktu malam.

10) Tabiat Pemakanan & Tip Melayan Tarikan Ikan

Tabiat ikan makan umpan

Tabiat ikan memakan umpan di pantai adalah berbeza dengan sungai atau pun laut dalam. Ada beberapa jenis tabiat makan tertentu yang boleh membantu anda untuk bersedia dengan aksi pertarungan.

Tabiat makan paling biasa untuk ikan di pantai ialah ikan melarikan umpan secara aggresif hingga membuatkan joran anda melentur untuk beberapa ketika dan mengeluarkan tali dari gelendung kekili anda. Tabiat ini biasanya datang daripada ikan bersaiz besar seperti pari, aruan tasik, yu kemejan, gerong belang dan sewaktu dengannya.

 

Tetapi ada juga ketikanya ikan-ikan ini hanya memberikan isyarat dengan getuan kecil pada hujung joran. Biasanya, pemancing hanya menyangka ia gangguan daripada ikan-ikan kecil, tetapi apabila membuat sentakan tiba-tiba sahaja tali dari gelendung kekili meluru keluar. Itulah sebabnya, walau apa jua tanda getuan pada joran, anda harus sentiasa bersedia.

 

Selain itu, ada juga ikan dengan tabiat makan dengan cara menyongsong ke tepi. Situasi yang biasa berlaku ialah tali yang pada asalnya dalam keadaan tegang, menjadi kendur secara tiba-tiba. Untuk situasi ini, ada dua kemungkinan, satu, tali anda dipotong buntal dan kedua, jika tali anda masih bergerak dalam keadaan kendur, ia adalah datangnya daripada ikan bersisik seperti jenahak, tanda, senangin, kurau, gerut, selampai dan lain-lain.

Gerut-gerut merupakan antara ikan sisik yang mempunyai tabiat makan umpan dengan menyongsong air dan membuatkan tali pancing kita kendur secara tiba-tiba.

Jika ini, berlaku, anda haruslah segera menggulung joran anda sehingga anda merasakan berat batu ladung anda dan melakukan sentapan joran dengan segera. Dengan cara ini, mata kail anda akan tertancap kemas di mulut ikan kerana ada ikan sisik gemar mengemam umpan dan akan meluahkannya jika terasa berat batu ladung.
Melayan tarikan ikan
Teknik bertarung dan melayan tarikan ikan juga harus anda ketahui. Perkara asas yang harus anda titikberatkan ialah sistem drag pada kekili. Pastikan drag anda tidak terlalu ketat atau longgar. Sistem drag terbaik ketika melayan tarikan ikan ialah 70%, yang mana tali masih boleh keluar, tetapi ia masih lagi ketat dan akan membuatkan ikan menggunakan tenaganya untuk melarikan diri.

Jangan terlalu gopoh ketika melayan tarikan ikan.

Bila berdepan situasi ikan menarik keluar tali dari gelendung kekili secara berterusan, adalah lebih baik untuk anda tidak membalas tarikan tersebut. Biarkan sahaja seketika untuk ikan melarikan diri kerana pada satu ketika, ia pasti akan berhenti dari membuat larian.

 

Bila ikan sudah berhenti dan memperlahankan rentaknya, ada haruslah segera mengepam joran dan membuat gulungan. Jika ikan kembali melawan, lakukan perkara yang sama seperti awal tadi. Apa jua jenis ikan pasti akan menjadi lemah apabila bertarung terlalu lama.

 

Kebiasaannya ikan pari adalah spesies yang sering membuat larian kencang dan ada waktunya, ia akan melekap di pasir. Bila ini berlaku, jangan terlalu memaksa, apa yang boleh dilakukan ialah membuat jentikan pada tali utama untuk mengilukannya atau biarkan seketika dengan cara menyondongkan joran dalam keadaan tali sedikit kendur untuk memperdayanya.

 

Untuk ikan bersisik seperti kerapu, jenahak, gerut dan tebal pipi pula lain caranya. Ikan jenis ini terkenal dengan tabiat melarikan umpan ke ‘rumah’nya iaitu lubang dan batu karang. Jadi, jika berhadapan dengan tabiat pemakanan seperti ikan sisik, seeloknya anda tidak memberi peluang untuk ikan melarikan tali anda. Adalah lebih baik untuk mengepam dan menggulung tali secepat mungkin untuk menjauhkan ikan dari kawasan batu karang yang mana, jika ini berlaku, anda terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada ikan tersebut dan perambut anda.

 

Berbeza pula caranya ketika melayan tarikan spesies seperti senangin atau kurau. Untuk spesies ini, anda harus seimbangkan teknik mengepam dan pada masa sama beri sedikit peluang untuk ikan ini melakukan asakan. Tapi, ingat, jangan terlalu memaksa dan terlalu memberi peluang kepadanya dan pada masa sama pastikan tali sentiasa tegang. Ini kerana, spesies ini terkenal dengan gigi seperti kertas pasir yang mana jika anda bertarung terlalu lama, ikan ini mampu menggesel tali dan memutuskan perambut mata.

Ikan senangin terkenal dengan kelicikannya. 

Untuk semua jenis ikan yang disebutkan tadi, teknik mendaratkan ikan ke pantai juga harus anda tahu. Apabila ikan sudah sampai ke gigi air, biasanya ia akan menjadi saat getir untuk kaki pancing. Ini kerana, pada waktu inilah banyak kejadian rabut atau lucut terjadi yang mana, ikan berjaya melakukan pecutan di saat akhir untuk menyelamatkan diri tatkala anda sudah melihat kelibatnya.

 

Perkara utama untuk masalah ini ialah, anda harus mempunyai rakan atau pembantu yang menunggu di tepi pantai. Cukuplah hanya seorang dua sahaja untuk menjadi penyelamat anda kerana ada spesies ikan begitu alah dengan suasana riuh. Jika terlalu bising dengan sorakan dan sebagainya, ikan berpotensi menjadi lebih agresif.

Khidmat rakan pemancing amat diperlukan untuk membantu mendaratkan ikan dengan selamat.

Penggunaan gancu adalah paling penting untuk mendaratkan ikan seperti pari dan yu kemejan (gancu tidak sesuai untuk ikan sisik). Bagi spesies lain, cukup dengan hanya membiarkan pembantu anda memegang tali perambut (PERINGATAN! Bukan pegang tali utama) dan menyeret ikan hingga ke darat. Di saat rakan anda memegang tali perambut, anda haruslah mengundur ke belakang dan merendahkan sedikit joran untuk memudahkan ikan dinaikkan ke darat dengan selamat.

Penggunaan gancu paling digalakkan terutamanya untuk mendaratkan ikan pari.

Bagi spesies-spesies biasa seperti gelama, semilang, duri, belukang, daun baru dan lain, tiada teknik yang spesifik untuk melayannya. Ini kerana, spesies seperti ini tidak mempunyai kekuatan seperti ikan-ikan yang disebutkan di atas. Cukuplah dengan berhati-hati menaikkannya ke darat kerana ada antara ikan tersebut mempunyai sengat berbisa.
KENAPA PERLU JORAN PANJANG?
Berbalik kepada persoalan utama, kenapa perlunya joran panjang dan bukannya joran pendek untuk memancing di pantai?

Mengapa Joran Panjang Direka?

Pertama sekali, mari kita rungkai mengapa joran bersaiz panjang ini direka? Sudah tentu ia direka dengan tujuan untuk membuat lontaran yang jauh. Kenapa pula perlu lontar jauh?

Teknik lontaran jauh.

Kalau mengikut kepada bentuk geografi pantai yang luas dan lapang di Malaysia, kebanyakan spesies ikan sering mencari makan pada jarak 100 meter dari pantai. Jadi, ia memberi kelebihan kepada mereka yang menggunakan joran panjang dan membuat lontaran jauh.

 

Kelebihan lain dengan lontaran jauh ialah, ketika air jalan pasang ikan-ikan akan mula mudik ke tepi. Jadi umpan yang dilontar jauh mempunyai potensi untuk menjadi umpan pertama yang dijumpai ikan.

 

Selain itu, joran panjang juga memudahkan anda untuk mengawal tarikan dan larian ikan. Bila ikan membawa lari umpan, lenturan joran panjang banyak membantu untuk mengawal pergerakan ikan tersebut. Ianya sangat mudah untuk dikendalikan ketika bertarung dan ketika ikan mengampiri darat, joran panjang yang lebih fleksibel juga dapat membantu untuk mendaratkan ikan.
Jarak Lontaran Jadi Penentu?
Walau bagaimanapun, harus diingat, ini tidak pula bermaksud penulis menidakkan ikan-ikan besar mendiami tepian pantai. Adakalanya, ikan-ikan besar seperti pari turut berkubang di kawasan tepi pantai terutama ketika air pasang penuh. Ikan-ikan seperti sembilang, belukang dan gelama juga sering mencari makan di tepian pantai.

 

Dari sini, penulis dapat merungkai satu lagi kelebihan joran panjang, yang mana, ia boleh berfungsi dua cara iaitu boleh membuat lontaran jauh atau dekat mengikut lokasi pancingan dan citarasa anda. Jika anda menggunakan joran pendek, anda tidak mempunyai kelebihan untuk melontar jauh seperti joran panjang.

 

Bagaimana pula untuk tahu sama ada perlu melakukan lontaran jauh atau dekat? Mudah sahaja, untuk pantai yang landai, WAJIB untuk anda melakukan lontaran jauh kerana spesies pemangsa amat jarang sekali bermain di kawasan air cetek.

 

Tetapi jika anda memancing di kawasan pantai yang strukturnya menjunam dan dalam, anda boleh membuat lontaran jauh ketika pergerakan air jalan pasang. Ketika air pasang penuh, tukar corak lontaran kepada lebih dekat dan bila air sudah berubah menjadi separuh surut, anda boleh kembali melontar jauh umpan anda.

 

Selain itu, anda juga boleh mempraktikkan lontaran jauh di mana jua lokasi, tetapi menggunakan konsep membuat sedikit karauan setiap 5-10 minit jika tiada getuan. Ini dapat membantu anda mencari lokasi tepat laluan ikan.

 

Untuk sesi pancingan di kawasan muara, benteng atau pantai berbatu pula, tidak perlu untuk anda sering membuat lontaran jauh. Ini kerana, ikan-ikan di kawasan ini gemar mencari makan tidak jauh dari tepian. Paling baik jika anda tahu paloh (laluan ikan) di kawasan ini sebelum membuat lontaran untuk mencerahkan potensi ‘strike’.

Joran pendek masih relevan untuk pancingan di kawasan berbatu, muara atau benteng.
Joran Panjang Lebih Kepuasan
Kesimpulannya, joran panjang yang direka khusus untuk pancingan pantai memberi lebih kepuasan berbanding joran pendek. Joran panjang terbukti membantu di dalam aksi pertarungan dengan spesies-spesies mega di pantai. Pada masa yang sama, ianya juga efektif digunakan untuk menyertai pertandingan-pertandingan memancing pantai di Malaysia.

Majoriti pemancing menggunakan joran panjang ketika menyertai pertandingan memancing pantai di Malaysia.

Namun, semuanya harus berbalik kepada objektif dan matlamat pancingan anda. Jika objektif anda untuk turun memancing dan mencari ikan-ikan kecil seperti bebolos dan gelama, tidak perlulah untuk menggunakan joran panjang. Joran pendek atau set ringan sudah memadai untuk melayan ikan-ikan ini. Paling mustahak untuk anda tahu apa target utama anda sebelum anda keluar memancing.

“Ingat, pengalaman itu mendewasakan. Jadikan setiap pengalaman anda turun memancing sebagai motivasi dan pembakar semangat untuk terus berjaya dan lebih mendalami ilmu pemancingan.”

Diharap perkongsian taktikal memancing pantai ini dapat membantu anda untuk menambah ilmu pengetahuan dan membantu anda untuk mencapai sasaran ikan idaman anda.

Selamat mempraktikkan ilmu ini dan semoga berjaya.

Share ilmu ini kepada rakan-rakan anda jika ianya bermanfaat.

sumber :profishganda



Sumber Nukilan Cerita Kita

Post a Comment

0 Comments

Featured Post