Difahamkan dalam kejadian jam 11.30 pagi, pesawat terbabit terhempas ke Sungai Mati, Tangkak, Johor, kira-kira 200 meter dari hujung landasan Aerodrome Sungai Rambai, di sini.
Timbalan Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi) negeri, Kamarulzaman Mohd Din, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.39 pagi.
“Tiga jentera dan dua EMRS bersama 26 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
“Juruterbang Yen Yoon Fah, 53, maut dipercayai akibat lemas,” katanya.
Memetik laporan Astro Awani pula, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau, Penguasa Bomba Kanan 1, Dzulkarnain Abd Halim berkata, pesawat ringan itu ditemui terhempas dalam sebatang sungai kira-kira 100 meter dari kawasan ia berlepas.
Pesawat berkenaan sedang diuji oleh Aerodrome Sungai Rambai dan sudah ada di situ dua bulan bagi menjalani ujian penerbangan sebelum mendapatkan Permit Kebenaran Terbang daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
Bagaimanapun, dipercayai berlaku masalah teknikal pada pesawat ringan berkenaan ketika kedua-dua mangsa sedang melakukan ujian itu sebelum dilaporkan terhempas.
“Pukul 11.39 pagi kami menerima panggilan. Jentera bomba Merlimau seramai lapan orang sampai di lokasi 11.53 pagi setelah kita terima maklumat mengatakan sebuah pesawat ringan terhempas di tepi tasik.
“Kerja-kerja menyelamat dilakukan bomba dan semasa sampai kita dapati mangsa sebelah pemandu keluar di tepi sungai dan seorang lagi terperangkap. Mangsa yang disahkan meninggal dunia itu adalah juruterbang,” katanya ketika ditemui di lokasi nahas hari ini.
Ketika tiba di lokasi, pembantunya Shahrul Safiri, 35, ditemui selamat selepas berjaya dikeluarkan orang awam yang melihat kejadian berkenaan.
Ketika ditemui terhempas, mereka mendapati sebuah pesawat ringan dalam keadaan terbalik berada di dalam sungai yang dipenuhi air dalam kawasan belukar.
Katanya, bomba mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa yang maut berikutan pesawat terbabit telah tenggelam sepenuhnya selain dikelilingi dengan belukar dan mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengeluarkan mangsa.
Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Muar bagi menerima rawatan lanjut manakala mangsa yang maut dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Sumber: Berita Harian
____________________________
Saya Tak Kisah Orang Nak Kata Apa Sebab Itu Memang Minat Saya
Kuala Terengganu: Nor Sakira Awee, 20, tidak menyangka rakaman videonya membaiki brek kereta tular di media sosial hingga menyebabkan ada netizen menggelarnya sebagai gadis bengkel serta sanggup meletakkan hantaran setinggi RM20,000.
Bagaimanapun, gadis itu hanya tersenyum membaca komen netizen serta menganggapnya sekadar gurauan dan usikan nakal terhadapnya.
Nor Sakira juga tidak sangka rakaman video berdurasi 35 saat itu boleh tular di media sosial hingga mendapat perhatian ramai tetapi dia tidak kisah walaupun ada sebahagian komen dilontarkan netizen agak keterlaluan.
Menurutnya, rakaman berkenaan dilakukan ketika dia menjalani latihan di Universal Centre Education Traning Employment (UNICETE) di Chendering, dekat sini.
Katanya, dia seorang daripada 65 pelajar tahap dua bagi Sijil Kemahiran Automotif Servis Selepas Jualan di UNICETE itu.
“Walaupun terpaksa bergelumang dengan minyak hitam selain mendapat sindiran pelbagai pihak, saya tetap kekal dengan minat itu,” katanya.
Pelajar berasal dari Kampung Batangan, Marang itu berkata, dia meminati kerja membaik pulih pelbagai jentera termasuk kereta dan motosikal sejak kecil.
Menurutnya, dia memang mempunyai asas dan sedikit kemahiran membaiki motosikal dan kereta sebelum mengikuti kursus di UNICETE itu.
Katanya, abangnya sendiri, Mohd Sabri, 26, mempunyai bengkel kereta di Kampung Tok Landok dan dia juga banyak menimba ilmu membaiki kenderaan bersamanya.
“Selepas enam bulan mengikuti kursus di UNICETE, kemahirannya semakin bertambah dan dia kini mampu membaiki kerosakan enjin kereta.
“Apabila minat, semua perkara akan mampu dilakukan. Ramai kenalan perempuan yang memandang sinis terhadap minat saya ini tetapi ia tidak melunturkan semangat.
“Walaupun saya terpaksa bermandi minyak hitam, bekerja dengan menggunakan banyak tenaga tetapi ia tidak mengubah penampilan saya sebagai seorang wanita.
“Memang ia kerjaya lasak dan asing untuk seorang perempuan tetapi saya tetap perempuan yang kekal dengan identiti lemah lembut dan suka dengan penjagaan kecantikan,” katanya.
Menurutnya, dia berasa gembira dan bangga kerana memilih untuk mendalami bidang automotif itu sekali gus berpeluang berkhidmat kepada masyarakat.
“Bila ada kenderaan rosak tersadai di tepi jalan, saya akan berhenti untuk memberikan pertolongan.
“Saya berasa puas apabila mampu menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan terutama membabitkan wanita,” katanya.
Rakannya, Mohd Ishak Amin, 20, dari Kampung Wakaf Mempelam berkata, dia kagum dengan kebolehan yang dimiliki Nor Sakira.
“Sejak mengikuti kursus ini, dia secara tidak langsung menjadi pembakar semangat dan pendorong kepada semua pelajar lelaki di pusat latihan ini.
“Walaupun perwatakannya lemah lembut tetapi kemahiran serta dan kecekapan yang dimilikinya juga setanding dengan pelajar lelaki,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengajar UNICETE Mohd Nazarizal Abd Ghani berkata, Nor Sakira ialah pelajar perempuan ketiga yang mengikuti kursus automotif di UNICETE sejak ia ditubuhkan pada 2012.
“Kami memang menggalakkan penyertaan pelajar wanita di UNICETE kerana ia memberi impak positif terhadap pelajar lelaki,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Sumber Nukilan Cerita Kita
0 Comments