PETALING JAYA: Ketika tindakan penyanyi dan pelakon Awie membuka kelab malam di Ipoh, Perak dipertikaikan segelintir pihak, vokalis kumpulan Wings itu sebenarnya sudah merancang untuk memperluaskan lagi perniagaannya dengan membuka tiga lagi cawangan baharu.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 45, berkata, dia tidak akan mengendahkan kritikan orang sebaliknya mahu mengembangkan kelab malam berkenaan yang dikenali sebagai Malai Rock Station Bistro masing-masing di Kuala Lumpur, Johor dan Kuantan, Pahang tidak lama lagi.
“Jangan melihat perniagaan kelab itu daripada pandangan yang cetek. Ia adalah sebuah perniagaan dan saya telah melabur ratusan ribu untuknya.
“Malah saya juga merancang untuk kembangkan lagi perniagaan itu pada tahun ini selepas mendapat respons baik daripada pengunjung di Ipoh,” katanya ketika dihubungi.
Awie berkata demikian sebagai mengulas laporan beberapa portal susulan perasaan tidak puas hatinya dengan pihak media yang bertanyakan perkara tersebut semasa malam gala filem Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon & Jin Pakai Toncit dekat sini malam Selasa lalu.
Awie menegaskan, masyarakat seharusnya berfikiran terbuka dan tidak mudah menjatuhkan hukum hanya kerana dia berstatus selebriti.
“Saya bergiat dalam bidang hiburan dan tidak tahu cabang perniagaan lain melainkan cabang ini sahaja (membuka kelab malam). Takkan saya hendak jual nasi lemak yang saya tidak tahu caranya?
“Jadi apa salahnya saya jalankan perniagaan berasaskan hiburan? Jangan persoalkan mengenai hukum hakam hanya kerana saya seorang artis?” jelasnya dalam nada kesal.
Tambahnya, perniagaan pusat hiburan bukanlah sesuatu yang baharu dan sudah ramai ahli perniagaan Melayu lain turut menjalankan perniagaan berasaskan hiburan seperti itu.
“Teruk sangat ke buka kelab malam? Apabila saya yang buka, semua mempertikaikan saya? Sedangkan benda ini bukannya baharu.
“Di luar sana, lebih ramai orang Melayu yang berniaga kelab, hotel dan pusat hiburan lain tetapi kenapa tidak dipertikaikan?
“Saya hanya berniaga bagi meneruskan kelangsungan hidup dan mencari rezeki untuk diri dan keluarga, apakah itu salah?” soalnya yang berharap isu ini tidak diperbesarkan lagi.
Sementara itu, mengenai watak Husin dalam filem sekuel kepada Hantu Kak Limah Balik Rumah yang dilakonkannya itu Awie berkata, komitmen pada kali ini adalah lebih mencabar kerana dia perlu menterjemahkan Husin yang berada dalam kedukaan selepas diisytiharkan muflis.
“Penceritaan filem kali ini lebih bersahaja tetapi berat. Watak Husin tidak jauh berbeza berbanding filem pertama Hantu Kak Limah Balik Rumah sebelum ini.
“Cuma pada kali ini dia kurang ceria kerana berada dalam keadaan murung dan bersedih selepas diisytiharkan muflis,” katanya.
sumber:-buletinkampung,
__________________________________
Vida Beli Bulu Ayam Selepas Diejek Ayam..
DATUK Seri Vida mensasarkan muzik video lagu I Am Me yang dilancarkan pada Rabu bakal mendapat 100 juta tontonan dalam masa tiga bulan di YouTube.
Vida atau Hasmiza Othman, 46, berkata beliau yakin dengan angka itu bersandarkan kepada populariti diraih lagu berkenaan termasuk di luar negara selain memperhebatkan rangka promosi.
“Apa saya katakan saya akan lakukan! Insya-Allah dengan populariti lagu ini dan promosi berterusan pasti dapat mencapai angka berkenaan.
“Strategi saya bukan hanya untuk peminat dan pendengar tempatan sahaja sebaliknya kita mahu melangkau ke luar negara,” katanya.
Vida ditemui pada majlis pelancaran muzik video arahan Ghaz Abu Bakar itu yang diadakan di Red Box, Pavilion Kuala Lumpur pada Rabu.
Vida ketika membuat persembahan sempena pelancaran muzik videonya yang dihasilkan mencecah RM1 juta.
Muzik video yang menelan kos sebanyak RM1 juta itu menjalani penggambaran di kediamanVida di Ipoh, Perak yang mengangkat konsep mewah, glamor, cekal dan ranggi.
Dalam pada itu, Vida berkata, dia mencari idea untuk konsep muzik video itu selama tiga minggu kerana ingin menampilkan kelainan daripada kebiasaan.
Kata Vida, ejekan dan parodi mengenai lirik I Am Me sebagai ‘ayam’ telah memberinya idea untuk menggunakan bulu ayam sebagai kostum.
“Perkara yang orang parodi dan ejek itu sebenarnya beri saya idea dan saya sanggup ke Thailand dan Hong Kong untuk membeli perhiasan bulu ayam yang digunakan oleh penari sebagai pelengkap gaya.
“Ditambah dengan kepakaran Ghaz sebagai pengarah dia berjaya merialisasikan apa yang saya gambarkan menerusi muzik video ini.
Amboiii… berbulu ayam gitu.
“Saya memang cukup berpuas hati dengan apa dihasilkan Ghaz dan Insya-Allah jika ada peluang kami akan bekerjasama lagi,” katanya.
Sementara itu, Vida berkata, dia bercadang untuk melelong barangan yang digunakan dalam muzik video itu seperti barang kemas, kostum dan beg tangan berjenama.
Kata Vida, hasil jualan daripada lelongan itu akan disalurkan ke tabung dana pembinaan sekolah tahfiz di Kelantan.
“Insya-Allah jika tiada halangan saya bercadang untuk lelongan barangan yang digunakan dalam muzik video itu pada hujung tahun ini.
“Ia dibuat bagi tujuan baik demi mengumpul dana pembinaan sebuah sekolah Tahfiz di Kelantan.
“Barang yang ingin saya jual itu bukan barang terpakai tetapi semuanya baru,” katanya.
kredit:- mstar
Sumber Nukilan Cerita Kita
0 Comments