SITI Norizan menyediakan khidmat cuci rumah. FOTO Faris Zainuldin.
Kota Bharu : Enggan mengharap belas ihsan, seorang ibu tunggal sanggup menebalkan muka menawarkan perkhidmatan membersih rumah di sekitar daerah ini bagi meneruskan kelangsungan hidup keluarganya sejak dua bulan lalu.
Perkhidmatan mencuci rumah itu dilakukan Siti Norizan Husin, 36, bagi menyara tiga anaknya iaitu Wan Batrisya Najwa Wan Razali, 10, Wan Ayuni Sabrina, 9, yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Demit 1, Kubang Kerian dan Wan Muhammad Adam Darwish, 5.
Siti Norizan berkata, selepas berpisah dengan bekas suaminya setahun lalu, dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sebelum mengambil keputusan berhenti April lalu kerana keperluan anak terabai disebabkan waktu kerja yang panjang.
Menurutnya, seorang rakan memperkenalkannya kepada ejen perkhidmatan mengemas rumah dan dia mula bergerak sendiri dengan modal permulaan RM300 diberikan individu yang bermurah hati sebulan kemudian.
“Perkhidmatan mencuci rumah itu kemudian tular di laman sosial Facebook selepas dimuat naik seorang pelanggan, dua bulan lalu sehingga saya tidak menang tangan menerima semua tawaran dan pendapatan mingguan pernah mencecah RM350.
“Namun sejak akhir-akhir ini, perkhidmatan disediakan tidak lagi serancak seperti sebelum ini, namun saya menganggap semua itu rezeki daripada Ilahi.
“Bayaran dikenakan bagi setiap rumah adalah RM70 dan dalam sehari hanya sebuah rumah dapat dibersihkan bergantung kepada permintaan pelanggan,” katanya ketika ditemui di Kubang Kerian, di sini, semalam.
Menurutnya, beban yang ditanggung sedikit ringan apabila dua anaknya mendapat bantuan persekolahan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM100 seorang.
Katanya, dia menaiki kereta Perodua Kenari untuk bekerja, tetapi kenderaan itu sering rosak hingga menyebabkan perbelanjaan bulanannya meningkat.
“Untuk membaikinya, saya tidak mampu, namun hanya itu (kereta) pengangkutan yang ada untuk keluar mencari rezeki. Selalunya pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan mencuci rumah di sekitar Kota Bharu dan Pasir Mas,” katanya.
Sumber:hmetro
0 Comments