2 WANITA CURI TAMBAH NILAI TOUCH N’ GO BERJUMLAH RM17,813

DUA pembantu tadbir Jabatan Audit Negara dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini atas 235 pertuduhan mencuri tambah nilai Touch n’ Go berjumlah RM17,813 sejak Disember 2016 hingga April lalu.

Tertuduh pertama, Normaidzatulaqma Iskandar, 37, berdepan dengan 69 pertuduhan didapati melakukan kesalahan itu pada 5 Disember 2016 hingga 24 April tahun ini di Aras 2, Cawangan Pentadbiran Sektor Pengurusan JAN, Precint 2, Putrajaya..

Tertuduh kedua, Farizah Nekmat, 37, pula berdepan 166 pertuduhan yang sama dilakukan pada 2 Februari hingga 24 April tahun ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati melakukan kesalahan itu pada waktu pejabat dan luar waktu pejabat selain pada hari minggu dan cuti umum pada waktu awal pagi hingga lewat tengah malam di pejabat itu.

Mereka didakwa memasukkan wang antara RM1 hingga RM100 masing-masing menggunakan tujuh keping kad Touch n’ Go menerusi pos terminal tambah nilai.

Berikutan itu, mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula boleh dikenakan penjara dan dikenakan denda atau sebatan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili oleh peguam mengaku tidak bersalah dan mohon supaya dibicarakan.

Majistret Azizah Ahmad kemudian menetapkan Normaidzatulaqma dikenakan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat pada setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai termasuk menyerahkan pasport.

Sementara itu, Farizah pula dikenakan wang jaminan sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat pada setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai termasuk menyerahkan pasport.

Azizah turut menetapkan kes berkenaan disebut semula pada 5 Disember.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan.

Terdahulu, Muhammad Izzat memohon mahkamah mengenakan wang jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh bagi menjamin kehadiran tertuduh di mahkamah.

Sementara itu, tertuduh pertama, Normaidzatulaqma dalam rayuannya berkata, dia memohon kepada mahkamah mengenakan satu jaminan untuk semua pertuduhan kerana mempunyai banyak komitmen untuk menjaga tiga anak termasuk ibu yang tinggal bersama.

Dalam pada itu, Farizah yang juga ibu tunggal meminta supaya mahkamah mengenakan satu jaminan bagi semua pertuduhan kerana terpaksa menanggung empat anak berusia antara 8 hingga 18 tahun yang masih bersekolah termasuk menjaga ibu serta menanggung hutang bekas suami.

Sumber: Harian Metro



Sumber Biar Semua Jadi Berita http://ift.tt/2hzaOos

Post a Comment

0 Comments

Featured Post