Tahun depan, nama Tan Sri Muhammad Ali Hashim tidak akan termaktub lagi di dalam buku tahunan, 500 Muslim Paling Berpengaruh Di Dunia apabila berakhirnya riwayat tokoh berwibawa itu Selasa lalu. Tersenarai pada edisi 2016 dan 2017 oleh buku terbitan pusat kajian di Amman, Jordan itu, pemergiannya pasti amat dirasai Malaysia dan umat Islam sejagat.
Dengan penuh ketenangan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Pakar KPJ Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada pukul 3.30 petang Selasa lalu setelah berbulan-bulan berjuang melawan kanser hati. Allahyarham yang merupakan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) meninggal dunia pada usia 70 tahun.
Selama ini, Allahyarham Muhammad Ali merupakan ikon unggul yang tidak pernah lelah memartabatkan ekonomi Islam. Beliau merupakan tokoh perniagaan yang amat sinonim dengan Johor Corporation (JCorp).
Sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada JCorp yang dikendalikannya selama hampir tiga dekad iaitu dari 1982 hingga 2010 itu, mantan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp itu meninggalkan satu legasi perniagaan yang cukup hebat.
Di bawah pimpinan Allahyarham, JCorp berjaya dibina hingga menjadi organisasi korporat utama Malaysia dengan lapan anak syarikatnya tersenarai di Bursa Malaysia dan satu di bursa saham London Stock Exchange selain membuka pintu rezeki kepada lebih 65,000 pekerja.
Secara keseluruhan, Allahyarham telah memimpin JCorp sehingga mampu memiliki 280 anak syarikat dengan aset berjumlah RM18.1 bilion pada 2010. Semasa kepimpinannya juga, JCorp berkembang gah sehingga membeli francais jenama ayam goreng antarabangsa KFC pada tahun 2006.
Selain KFC Holdings dan QSR Brands Berhad yakni pemilik rangkaian lebih 900 restoran KFC, Pizza Hut dan Ayamas di Malaysia, Singapura, Brunei, Kemboja dan Mumbai, India, antara anak syarikat JCorp juga ialah KPJ Healthcare Bhd. yang mempunyai lebih 20 buah hospital pakar di Malaysia dan dua di Indonesia.
Satu lagi syarikat utama JCorp ialah Kulim Malaysia Berhad yang terlibat dalam membangunkan industri minyak kelapa sawit yang memiliki perladangan kelapa sawit terbesar di Papua New Guinea.
Pejuang wakaf
Allahyarham Muhammad Ali (kiri) membina banyak pembangunan di negeri Johor semasa menjadi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp.
Berjiwa pejuang atau mujahid, Allahyarham terkenal dengan kegigihannya menyepadukan prinsip Islam ke dalam perniagaan. Menjadikan bisnes sebagai jalan untuk berjihad, Allahyarham ialah ikon yang memperkenalkan konsep Waqaf Korporat. Semasa menerajui JCorp, beliau telah mengasaskan Waqaf An-Nur Corporation Bhd. (WANCorp) yang merupakan institusi Waqaf Korporat yang pertama di Malaysia dan dunia.
Aset WANCorp ketika diwakaf pada akhir 2007 bernilai sekitar RM250 juta. Nilainya telah meningkat tiga kali ganda pada 2015 kepada RM786 juta sekali gus berjaya membuktikan kewibawaan konsep tersebut.
Baginya, Waqaf Korporat berupaya membela golongan masyarakat miskin dan tercicir akibat kederasan arus sistem ekonomi kapitalis yang terlalu memihak kepada golongan kaya.
Selepas meninggalkan JCorp perjuangannya berhubung wakaf diteruskan dengan menubuhkan Awqaf Holdings Berhad pada 2012 apabila menerajui DPIM.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhammad Hakimi Mohd. Shafiai menyifatkan arwah telah mencetuskan satu pemikiran di luar kotak masyarakat hari ini apabila memperkenalkan konsep Waqaf Korporat.
“Tidak ada lagi dalam sejarah ekonomi moden Islam berhubung wakaf yang meletakkan korporat sebagai instrumen wakaf. Dalam korporat biasanya, entiti yang merupakan pemegang saham terbanyak ialah pemilik syarikat, sedangkan Waqaf Korporat mengembalikannya kepada ummah.
“Dengan kata lain, pemiliknya (syarikat itu) ialah ummah. Ia suatu yang tidak pernah difikirkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Muhammad Hakimi berkata, Waqaf Korporat ialah satu konsep bagi memastikan pulangan keuntungan sesebuah perniagaan itu tidak diperoleh orang tertentu atau segelintir sahaja sebaliknya dikecapi ummah.
Integriti
Isteri Allahyarham, Puan Sri Noorzilah Mohamed Ali (kanan) menabur bunga mawar ke pusara suaminya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Allahyarham menentang sistem kapitalis. Idea wakaf ini adalah untuk mengharmonikan keuntungan syarikat bagi disalurkan kepada ummah.
“Mengenai konsep jihad bisnesnya pula, ia kerana Allahyarham percaya orang Islam kena menjadi kaya kerana dengan kekayaan itulah kita boleh menyumbang dan mengagihkannya kepada orang lain misalnya melalui wakaf,” katanya.
Tambah Muhammad Hakimi, Allahyarham yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) seorang yang sentiasa bercita-cita untuk melihat institusi-institusi Islam di negara ini tidak dipandang lekeh.
Dari segi karakternya, Allahyarham yang pernah digelar Kolonel (Harlands) Sanders Malaysia kerana rupanya yang mirip pengasas KFC itu seorang yang tegas dalam pendiriannya.
Di mata banyak pihak, arwah juga dilihat sebagai seorang yang menjunjung tinggi amanah dan integriti.
Pada tahun 2013, beliau pernah mengembalikan tiga darjah kebesaran negeri Johor ekoran tidak dapat menerima tuduhan ‘tidak bertanggungjawab’ yang baginya menjatuhkan reputasinya. Darjah terbabit ialah Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Johor, Darjah Dato’ Paduka Mahkota Johor dan Setia Mahkota Johor.
Menceritakan pengalaman bersama arwah, Penolong Setiausaha Agung DPIM, Muhamad Amin Fahmi Solahuddin berkata, arwah seorang yang tegas pada prinsip dan keputusan yang dilakukannya.
“Di sebalik ketegasan itu, Allahyarham seorang yang mesra dan seorang yang merendah diri. Arwah juga seorang pendakwah melalui perbuatannya. Beliau bercakap tentang wakaf dan beliau juga berwakaf,” katanya.
Muhamad Amin Fahmi berkata, semangat perjuangan Allahyarham mengenai Wakaf Korporat begitu membara dan arwah telah membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk Waqaf Korporat Model Ekonomi Baharu di banyak negara antaranya Turki, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Australia dan New Zealand.
“Asal sahaja ada pihak yang ingin memintanya untuk berbicara mengenai Waqaf Korporat, sebut sahaja di mana, beliau akan pergi.
“Istilah Wakaf Korporat bahkan telah dipatenkan dan ia adalah milik arwah sendiri. Ia bukan tujuan mengongkong atau menghalang orang lain menggunakannya tetapi bagi memastikan ia tidak disalahgunakan,” katanya sambil memberitahu penglibatan arwah bersama DPIM bermula sejak tahun 2000.
Muhamad Amin Fahmi berkata, arwah selalu berpesan kepada ahli-ahli DPIM supaya tidak meminta-minta dan banyak menyumbang kepada masyarakat.
“Pesannya, jangan lupa, bahawa pada keuntungan yang diperoleh dalam sesuatu perniagaan, ada bahagian orang lain. Arwah mengingatkan kami bahawa ahli-ahli DPIM itu perlu berbeza daripada dewan-dewan perdagangan yang lain kerana kami ialah Dewan Perdagangan Ikhlas Memberi.
“Arwah juga tidak mahu umat Islam berpaksikan sistem atau acuan Barat kerana baginya, Islam itu sudah lengkap dan sepatutnya orang Barat yang mengikut Islam,” katanya.
Kebanggaan
Biarpun telah berjuang sekian lama bersama Awqaf Holdings Berhad (Awqaf), Allahyarham tidak dapat menatap bangunan Awqaf yang dijangka siap pada 2021, di Putrajaya.
Sebagai anak kelahiran Mersing, Johor, arwah menjadi kebanggaan negeri itu.
Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp selama lebih 28 tahun, Allahyarham menyumbang jasa dan bakti hingga menjadikan JCorp sebagai sebuah konglomerat yang disegani di rantau ini.
“Iltizam Allahyarham mempraktikkan prinsip ekonomi Islam dalam sistem pengurusan korporat serta komitmen melaksanakan program pembangunan keusahawanan bumiputera. selain memperkenalkan wakaf korporat menjadikan beliau antara tokoh ekonomi terkemuka yang pernah Johor dan Malaysia lahirkan,”
“Sesungguhnya, kami amat berbangga kerana Allahyarham pernah memimpin JCorp hingga membawanya ke persada kejayaan,” katanya.
Oleh : ADHAM SHADAN dan RIZAM ZAKARIYA
Sumber : Kosmo Online
Sumber Biar Semua Jadi Berita http://ift.tt/2ypOZ5k
0 Comments