Pendakwah Haslin Baharim mengakui isu tersebut sebenarnya isu kecil dan menganggap kontroversi tersebut mempunyai hikmah yang tersembunyi. – Gambar Youtube, 1 November, 2017.
PENDAKWAH Haslin Baharim berhasrat menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk memberi penjelasan tentang kuliah agamanya kerana khuatir baginda mungkin mendapat nasihat yang salah susulan larangan berdakwah di negeri itu yang dikeluarkan terhadapnya, hari ini.
Selain menghadap Sultan Johor, beliau yang terkenal dengan julukan “Ustaz Bollywood” kerana sering mendendangkan lagu daripada filem Hindustan dalam kuliah agamanya, juga berharap dapat berjumpa Exco Agama Negeri Johor, Abd Mutalip Abd Rahim untuk memberikan penjelasan yang sama.
Haslin yakin beliau tidak melakukan sebarang kesalahan seperti yang didakwa.
Beliau juga yakin Sultan Johor akan dapat memahami apa yang beliau lakukan melalui ceramah agamanya selama ini iaitu membela agama Islam.
“Saya cukup yakin yang Sultan Johor ini sangat terbuka dengan rakyatnya dan sangat bijaksana.
“Saya rasa saya tak salah, tapi mungkin ada kekurangan maklumat tentang diri saya dan kes saya.
“Bagaimanapun, saya amat yakin dengan kebijaksanaan Tuanku “ katanya sewaktu dihubungi The Malaysian Insight.
Haslin disekat mengajar agama di Johor melalui titah Tuanku Sultan yang disampaikan oleh Mutalip. Selain Haslin, Johor turut mengenakan sekatan terhadap Mufti Zimbabwe, Ismail Menk.
Keputusan Johor itu dibuat sehari selepas Kementerian Dalam Negeri Singapura mengeluarkan larangan sama ke atas kedua-dua pendakwah itu.
Selain sekatan mengajar agama di Singapura, mereka juga dilarang memasuki republik itu.
KDN Singapura dalam kenyataannya menyebut Haslin disekat kerana ceramahnya dikatakan memecahbelahkan masyarakat Islam dan bukan Islam.
Bercakap kepada The Malaysian Insight semalam, Haslin menafikan dakwaan tersebut dan meminta pihak berkuasa agama di Singapura untuk menunjukkan bukti ceramahnya yang dikatakan memecahbelahkan masyarakat.
Larangan Johor ini juga dibuat ketika Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata Putrajaya tidak ada sebarang masalah dengan dua penceramah itu.
Mengulas lebih lanjut, Haslin mengakui isu tersebut sebenarnya isu kecil dan menganggap kontroversi tersebut mempunyai hikmah yang tersembunyi.
“Saya tak buat masalah dengan orang. Kalau orang ada masalah dengan saya, saya berharap mereka berjumpalah dengan saya, daripada buat begini.
“Saya tidak takut untuk berjumpa dan menjelaskan salah faham ini terutama kepada pegawai agama Johor tersebut. Bagi saya berani kerana benar takut kerana salah.”
Tambahnya, lagi beliau sudah dua tahun tidak pergi ke Johor untuk mengadakan ceramah atas alasan kesihatannya.
“Tapi saya yakin orang di Johor, bahkan di Mersing sekali pun, mereka yang biasa dengar ceramah saya, mereka akan menyokong saya tidak bersalah.
“Kerana itu saya meminta pegawai agama Johor tersebut berlapang dada untuk berjumpa dengan saya dan saya juga amat berharap dapat mengadap dengan Sultan Johor.”
Bekas Imam Masjid Sultan Ibrahim, Kuala Selangor itu lewat tahun lalu dimasukkan ke hospital selama hampir 100 hari kerana mengalami jangkitan kuman selepas menjalani pembedahan masalah tulang belakang.
Ketika itu, timbul desas-desus liar mendakwa kononnya beliau meninggal dunia.
Sementara itu, Haslin kesal dituduh memecah belahkan masyarakat menerusi ceramahnya.
Katanya, jika benar dakwaan tersebut, sudah tentu perkara tersebut sudah lama tersebar dan beliau sudah lama juga dikenakan tindakan.
“Tapi saya bukan penceramah politik atau yang berkaitan dengan mana-mana NGO. Saya pendakwah bebas, bukan milik mana- mana ahli parti politik.
“Kalau orang panggil saya datang ceramah, saya pergi,” kata lulusan Universiti Islam Abu Bakar, Karachi, Pakistan itu.
“Dalam ceramah saya amat jarang menyentuh mengenai politik, cuma adalah yang saya menjawab mengenai undang-undang Islam atau contoh isu yang menghina Islam kata bahawa nabi bersedudukan dan pelbagai lagi.
“Sebagai pendakwah sudah tentu saya kena mempertahankan Islam,” tambahnya, dan bertanya apakah kerana mempertahankan Islam maka beliau dianggap memecah belahkan masyarakat.
Kuliah agamanya yang disampaikan secara santai dan menghiburkan, dengan diselit jenaka serta nyanyian, menjadikan Haslin popular dan kerap mendapat jemputan dari seluruh negara.
Beliau juga sering dijemput sebagai panel program agama di televisyen dan radio.
Video ceramahnya juga popular di platform media sosial YouTube dan disebar meluas melalui Facebook. – 1 November, 2017.
Cerita Seterusnya…………………….
Dewan Diraja Selangor mahu Dr Mahathir disiasat kerana menghasut..
Dr Mahathir Mohamad didakwa membuat kenyataan menghina dan menghasut rakyat membenci masyarakat Bugis semasa berucap di perhimpunan ‘Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ di Petaling Jaya bulan lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2017.
DEWAN Diraja Selangor ingin Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir Mohamad disiasat kerana menghasut, susulan dakwaan mencetuskan kebencian terhadap keturunan Bugis.
Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais berkata Dr Mahathir dilihat seolah-olah menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, merendahkan dan melihat masyarakat Bugis dengan penghinaan.
Dr Mahathir didakwa membuat kenyataan sedemikian dalam ucapan di perhimpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di Petaling Jaya pada 14 Oktober, kata Hanafisah.
“Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor menganggap ucapan berkenaan (oleh Dr Mahathir) amatlah keterlaluan dan boleh mencetuskan perasaan benci dan prasangka buruk rakyat terhadap bangsa Bugis sehingga boleh mencetuskan kekecohan dan huru-hara,” kata kenyataan itu.
“Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor yang berasal dari Bugis.”
“Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor menjunjung segala titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkaitan dengan isu ini dan berpandangan agar satu siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 atau apa jua undang-undang berkaitan wajar diambil ke atas Dr Mahathir.”
Kenyataan bekas perdana menteri mengenai Bugis dikritik oleh anggota masyarakat yang menuntut agar beliau memohon maaf.
Persatuan Bugis Indonesia menuntut Dr Mahathir meminta maaf atau ia akan mengadakan protes di luar Kedutaan Malaysia di Jakarta, Indonesia.
Bugis adalah kumpulan etnik yang berasal dari kepulauan Sulawesi di Indonesia. Sebahagian besar masyarakat Islam Malaysia berketurunan Bugis.
Mengenai serangannya terhadap Perdana Menteri Najib Razak pada perhimpunan tersebut, Dr Mahathir, didakwa mengatakan nenek moyang Najib adalah “lanun Bugis”.
Najib pada masa lalu begitu berbangga dengan keturunan Bugis keluarganya.
Dewan Diraja Selangor hari ini berkata klip video ucapan jelas menunjukkan Dr Mahathir menghina dan mengatakan bangsa Bugis berasal daripada golongan dengan lanun, penjenayah dan perompak.
“Fakta sejarah membuktikan Kesultanan Selangor berketurunan Bugis merupakan pahlawan yang memperjuangkan dan mempertahankan agama dan keamanan di seluruh Kepulauan Melayu,” kata Dewan Diraja itu.
“Dr Mahathir sebagai seorang bekas perdana menteri yang menerajui negara selama tempoh 22 tahun seharusnya lebih berhati-hati di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan seharusnya juga lebih mengetahui tentang fakta sejarah keturunan bangsa Bugis.”
Sultan Selangor juga mengingatkan ahli-ahli politik supaya tidak menggunakan isu keturunan kaum dan etnik sebagai modal politik kerana ia boleh mengancam keharmoniandan perpaduan, kata Hanafisah. – 2 November, 2017.
sumber; themalaysianinsight
Sumber Nukilan Cerita Kita
0 Comments