Baitulmaqdis diiktiraf sebagai ibu negara Israel secara rasmi oleh Amerika Syarikat

Baitulmaqdis diiktiraf sebagai ibu negara Israel secara rasmi oleh Amerika Syarikat
PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump hari ini mencipta sejarah sebagai presiden pertama Amerika Syarikat mengiktiraf secara rasmi Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Pada masa yang sama, beliau mengumumkan pelan memindahkan pejabat kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Bagaimana pun Trump mengakui pengiktirafan ini tidak akan mengubah status quo Baitumaqdis sebagai kota suci kepada tiga agama.

Baitulmaqdis diiktiraf sebagai ibu negara Israel secara rasmi oleh Amerika Syarikat

“Baitulmaqdis bukan sahaja kota suci kepada tiga agama (Islam, Yahudi dan Kristian), ia adalah jantung kepada demokrasi paling berjaya di dunia,” kata Trump dalam sidang media sekitar pukul 2.10 minit pagi waktu Malaysia.

Tindakan Trump itu dilihat bakal meningkatkan kemarahan masyarakat sivil Palestin dan dunia Islam secara umumnya.

Trump mengumumkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel

Ini kerana, Baitulmaqdis sentiasa menjadi sebahagian daripada asas perjuangan memerdekakan bumi anbia

Dalam sidang media tersebut, Trump bagaimana pun menyerahkan kepada Israel dan Palestin untuk berbincang mengenai garis sempadan yang memisahkan kedaulatan kedua-dua negara itu.

“Kami tidak mengambil sebarang pendirian dalam menentukan garis sempadan, ia bergantung kepada pihak yang terlibat (Palestin dan Israel),” ujarnya.

Berdasarkan kepada penelitian Astro AWANI terhadap 11 minit ucapan Trump itu, perkataan ‘Palestin’ hanya disebut selepas minit keenam.

Beliau turut mengulangi retorik pendirian Washington iaitu sentiasa berpegang kepada penyelesaian dua negara sebagai jalan perdamaian konflik lebih enam dekad antara Palestin dan Israel.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas sebelum ini memberi amaran keputusan Trump itu akan mewujudkan ketegangan dan boleh menjejaskan pelan perdamaian, keselamatan dan kestabilan di rantau itu serta dunia.
 
Netanyahu berterima kasih kepada Trump kerana mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Sumber: Astro Awani

________________________________________________
PAS kecam Trump isytihar Baitul Maqdis ibu negara Israel..

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam tindakan Donald Trump mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel yang disifatkan mencabar kesabaran umat Islam dan mencemarkan kesucian bumi Al-Quds.

Keberanian Trumph disusuli selepas kejayaan Amerika-Zionis mencampuri urusan negara-negara Arab khususnya kejayaannya mengikat Arab Saudi sebagai rakan karibnya, melalui strategi mengapi-apikan semangat perkauman dan mazhab sehingga berjaya menimbulkan kekacauan dan huru-hara di Asia Barat. Situasi ini lagi membenarkan rahsia pemetaan dunia baru yang sedang berjalan supaya negara-negara Islam disibukkan dengan peperangan sesama sendiri sehingga mengabaikan perjuangan pembebasan Palestin dan Baitul Maqdis.

Sejarah tamadun dunia telah membenarkan hanya Islam sahaja yang berjaya mewujudkan keadilan kepada masyarakat majmuk dengan membenarkan penganut Kristian dan Yahudi untuk beribadat dengan bebas dan aman. Tiada harapan keamanan daripada Amerika dan Zionis yang bergelar ketua pengganas dunia dan pembunuh utama nyawa umat Islam.

PAS mengajak kepada semua umat Islam tanpa mengira kaum, mazhab dan fahaman politik untuk bersatu menentang pengisytiharan Trump ini.

Melalui kerajaan Malaysia, PAS mengharapkan Perdana Menteri menghantar surat bantahan kepada Rumah Putih dan memanggil segera Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan rakyat Malaysia. Baitul Maqdis adalah titik kesatuan umat Islam berpaksikan syariat Islam yang adil.

Justeru itu, PAS mengarahkan semua ahli untuk hadir himpunan aman membebaskan Baitul Maqdis di Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur dan di setiap negeri masing-masing pada 8 Disember 2017 serta menjemput NGO-NGO dan mahasiswa untuk turut hadir bersama.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh : 18 Rabiul Awal 1439 / 7 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 7/12/2017



Sumber Nukilan Cerita Kita

Post a Comment

0 Comments

Featured Post