“Saya muak dihidangkan dengan menu ayam setiap hari selama empat hari berada di sini hingga saya rasa seperti ‘ayam’,” demikian rungutan seorang mangsa banjir, Fatimah Mat Noh, 69, yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang 2, lapor Astro Awani.
Menurut Fatimah, dia sudah jemu menjamah juada yang disediakan tiga hari sekali dengan menu berasaskan ayam.
“Saya berharap sangat dapat makan makanan lain seperti ikan kering,” katanya.
Bukan Fatimah sahaja, malah ada beberapa mangsa banjir yang turut meminta pihak pengurusan menyediakan budu bagi menggantikan ayam.
Sementara itu, Ketua Tukang Masak PPS Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang 2, Jamaliah Ibrahim berkata, dia kerap menerima aduan dan rungutan daripada mangsa banjir yang jemu menjamah lauk ayam.
“Kami memasak lebih 100 kilogram ayam setiap hari dan menyediakan 80 kilogram beras bagi makanan pagi, tengah hari dan malam dengan melibatkan 1,200 mangsa banjir,” katanya.
Bukan setakat itu saja, mangsa banjir juga meminta mereka menyediakan ikan atau ikan kering yang dilihat lebih membangkitkan selera mereka.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup mengakui pihaknya tidak dapat menyediakan barangan basah seperti ikan kerana ketiadaan bekalan makanan. Sejumlah 50 tan beras telah dihantar ke 216 pusat pemindahan banjir seluruh Kelantan.
“Penggunaan harian dianggarkan 1.6 tan ayam sehari, 500 kilogram sayuran, 1,000 sarang telur dan lebih 500 kotak sardin untuk 59 buah pusat pemindahan banjir seluruh Kelantan,” katanya.
Sumber : TheReporter
Coretan ini mengingatkan penulis akan kisah yang terjadi di suatu pusat benjana banjir di Utara tanah air.
JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis menafikan mereka hanya menyajikan menu makan tengah hari nasi lauk sardin dan tauge untuk mangsa banjir sebaliknya itu adalah hidangan tambahan selepas menu asal gulai ‘ikan ketul’ tidak mencukupi.
Pengarah JKM Perlis Mohammad Hazam Ismail berkata, dalam kejadian semalam di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bintong, Kangar itu, wanita terbabit tidak berpuas hati diberi makanan berlaukkan sardin dan tauge sehingga bertindak memuat naik ke laman sosial sebelum ditularkan.
Menurutnya, pihaknya menyediakan 2,500 pek makanan untuk mangsa banjir di negeri ini namun pada hari kejadian makanan itu tidak mencukupi dan kerana kesuntukan masa pihaknya membeli sardin untuk dihidangkan kepada mangsa banjir.
“Hanya 20 peratus mangsa banjir sahaja yang menerima lauk sardin manakala 80 peratus makan mengikut menu asal disediakan iaitu gulai ‘ikan ketul’.
“Malah sebelah malamnya mangsa banjir menikmati lauk ayam. Kami sudah cuba memberi yang terbaik kepada mangsa banjir ini yang ditimpa musibah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohammad Hazam berkata, tindakan wanita terbabit memuat naik ke laman media sosial sehingga tular juga tidak sepatutnya berlaku.
“Saya sendiri ada melihat luahannya dan komen orang ramai yang rata-rata tidak bersetuju dengan tindakannya.
“Apabila dia memuat naik komen seperti itu ia hanya bukan dapat dibaca di Perlis tetapi merata tempat dan saya sendiri sedih apabila orang ramai menghentamnya semula,” katanya.
Beliau berkata, pada hari pertama banjir, pihaknya mula-mula menghidangkan menu mi goreng untuk sarapan namun Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man meminta mengubah menu itu dan hari seterusnya semua mangsa banjir menikmati hidangan nasi lemak setiap pagi.
“Nasihat saya sebelum sebarkan sesuatu dapatkan penjelasan terlebih dahulu daripada kita dan ini boleh dianggap fitnah,”katanya.
Sumber : HarianMetroOnline
Sumber Biar Semua Jadi Berita http://ift.tt/2BBjItY
0 Comments